Thursday, February 25, 2010

Sejarah Kelahiran Nabi Muhammad S.A.W





Mengikut pe
ngarang buku Ketinggian Risalah Nabi Muhammad s.a.w. bahawa yang menyambut Nabi bukan Siti Syifa’ tetapi Ummu Aiman, hamba ibu Nabi. Dan dialah yang mengasuh dan merawat Nabi pada hari-hari awal kelahiran baginda.
Saat itu ialah malam Isnin 12 Rabiulawal bertepatan dengan tahun 570 Masihi, maka dengan kehendak Allah yang telah pun mengatur segala-galanya peristiwa di alam ini lahirlah seorang bayi lelaki yang amat elok rupanya dan sihat badannya. Siti Syifa’ selaku bidan terus menyambut bayi yang comel dan sihat itu lalu dibersihkan badan Nabi dengan membasuhnya dengan air. Kemudian dibalutnya dengan kain putih yang bersih.

Pada saat Nabi dilahirkan itu berlaku banyak perkara yang tidak pernah diduga oleh akal manusia. Keajaiban itu terjadi di seluruh alam. Dari depan mata Siti Syifa’ hinggalah tepi dunia dan juga ke lapisan langit yang ketujuh.

Peristiwa yang pelik dan aneh yang disaksikan oleh ibu Abd. al-Rahman bin Auf itu ialah tentang kenapa anak sulung Siti Aminah binti Wahab isteri kepada Abdullah bin Abd. al-Muttalib ini tidak menangis sebaik sahaja keluar dari perut ibunya? Sedangkan belum pernah terjadi dalam sejarah peradaban manusia bahawa bayi yang baru keluar dari perut ibunya tidak menangis! Ini adalah satu petanda yang agung pada pendapat bidan yang merawati Siti Aminah itu ketika melahirkan bayi sulungnya yang cantik bersih itu.

Nabi ketika dilahirkan tidak menangis seperti kanak-kanak biasa. Tetapi baginda telah bersin. Inilah yang anehnya. Samalah dengan yang telah terjadi kepada bapa kita, Nabi Adam a.s ketika beliau mula-mula dimasukkan ruh oleh Allah ke dalam badannya. Setelah hidup dan bernafas, tiba-tiba beliau bersin.

Suasana di rumah Abd al-Muttalib ketika Siti Aminah mahu melahirkan anak sulungnya itu hanya diterangi oleh cahaya pelita atau damar sahaja. Namun sejurus Nabi dilahirkan, tiba-tiba rumah itu menjadi terang benderang seperti disuluh oleh cahaya lampu elektrik seperti yang dapat kita lihat pada zaman sekarang ini sehingga dalam rumah Abdullah itu keadaannya menjadi seperti waktu siang. Seolah-olah ada lampu besar yang menyinari ruang bilik tempat Siti Aminah sedang melahirkan Nabi itu. Ini sesungguhnya adalah sesuatu yang amat aneh.

Di luar rumah Abdullah pula, berhala-berhala yang berdiri megah di sekeliling Kaabah semua tumbang seperti ditolak oleh suatu tenaga yang kuat dari arah Kaabah.

Peristiwa aneh dan luar biasa yang berlaku di tempat yang jauh pula ialah api di Parsi yang menjadi pujian rakyat Parsi yang beragama Majusi yang sejak dinyalakan tidak pernah padam-padam itu tiba-tiba sahaja padam. Istana Maharaja Parsi, Kisra pula bergoncang.

Di langit pula, para malaikat sibuk bercakap tentang kelahiran insan agung yang akan membawa obor yang terang benderang untuk menyuluh umat manusia yang sedang bergelumang hidup di dunia kesesatan.

Begitulah beberapa peristiwa yang terjadi ketika Siti Aminah melahirkan putera sulungnya yang tunggal yang bakal menjadi Nabi umat akhir zaman itu.

Iktibar dan pengajaran ayat


Antaranya:

* Memohon dan berdoa kepada Allah untuk kebaikan zuriat dan menjadi soleh. Fikirlah bagaimana Nabi Ibrahim berdoa kemudian selepas ribuan tahun lahirnya Rasulullah s.a.w yang mentahqiqkan segala doa Ibrahim.


* Tugas rasul yang disenaraikan dalam ayat di atas ialah membaca kitab Allah, mengajar kitab-Nya, mengajar hikmah dan ilmu dan menyucikan daripada noda maksiat dan dosa.


* Betapa pentingnya menuntut dan mempelajari ilmu apatah lagi yang boleh membimbing keselamatan di dua negeri dunia dan akhirat. Ilmu yang bermanfaat sudah pasti dapat menyelamatkan tuannya dari terseret ke lembah kehinaan dan kejahilan.

* Mengkaji dan mempelajari sirah Rasulullah s.a.w. amat penting apatah lagi suasana masa kini musuh-musuh Islam melabelkan Rasulullah s.a.w. dengan pelbagai label dan gambaran yang amat keji.

No comments: